Sunday, 7 December 2014

AQSAM DI DALAM AL-QURAN (Bahagian Akhir)



    Contoh Penggunaan Aqsam    

1.    Surah Al-Asr

       Allah bersumpah dengan Al-Asr:

103:1



Al-'asr dari segi bahasa membawa erti masa yang hampir ke penghujungnya. Solat 'Asar misalnya, ditunaikan pada waktu yang hampir ke penghujung hari. 'Asar juga ialah waktu di mana para pedagang dan pengembara akan bergegas pulang mencari tempat untuk berlindung kerana ia adalah waktu yang berbahaya.

Apabila Allah bersumpah dengan Al-'asr, ini membawa beberapa pengertian:

i.        Allah menjemput manusia supaya berfikir tentang perjalanan masa.
ii.     Manusia sentiasa di dalam kerugian. Disebabkan masa sentiasa berjalan dan tidak mungkin kembali, manusia sentiasa kerugian, kecuali orang-orang yang mempunyai ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat seterusnya. 
iii.       Zaman dan perubahan tamadun yang menyaksikan jatuh bangun bangsa manusia.
iv.      Objek yang digunakan di dalam lafaz sumpah juga bertindak sebagai saksi terhadap subjek yang disampaikan. Ini bermaksud, Allah menjadikan Al-'asr sebagai saksi bahawa ramai manusia berada dalam kerugian.

Terdapat beberapa tempat lain yang Allah bersumpah menggunakan masa, seperti waktu subuh, waktu dhuha, waktu tengahari, tetapi 'Asar ialah waktu yang dikaitkan dengan keadaan yang mencemaskan. (state of urgency)

2.     Surah Al-Qalam:
       
       Allah bersumpah dengan Al-Qalam (pena).

68:1

Penggunaan pena sebagai objek dalam lafaz sumpah ini adalah bertepatan dengan tema surah Al-Qalam itu sendiri. Penggunaan Al-Qalam di dalam sumpah ini, menunjukkan Allah memberi pengukuhan kepada:

i.                    apa yang ditulis oleh malaikat
ii.                  bukti kepada ayat 2-4 dalam surah

Ulamak mempunya pandangan yang berbeza-beza mengenai apa yang dimaksudkan dengan pena di dalam ayat ini.

i.    Ibn Abbas berpendapat bahawa pena yang dimaksudkan ialah pena yang menulis tentang takdir dan ketentuan Ilahi. Ini berdasarkan hadis:
ii.  Pendapat yang lain mengatakan bahawa pena yang dimaksudkan tidak spesifik, tetapi merupakan pena yang digunakan oleh malaikat untuk mencatat setiap amalan manusia dan jin.
iii.   Kebanyakan mufassirun berpandangan bahawa pena yang dimaksudkan ialah pena yang digunakan oleh manusia untuk menulis. Pena adalah sesuatu yang sangat berkuasa, kerana manusia boleh menulis idea, sejarah, teori, perancangan untuk masa hadapan dan sebagainya. Jadi, yang dimaksudkan dalam ayat seterusnya " وما يسطرون" ialah sejarah yang manusia tulis.

Kesimpulan
Al-Qur'an ialah kalam Allah yang penuh mukjizat. Ilmu yang terkandung di dalamnya sangat luas dan tidak akan habis dikaji oleh insan. Ilmu tentang Aqsam fil-Quran juga adalah sebahagian dari lautan ilmu ini. Semoga dengan sedikit perkongsian ini, dapat memberi manfaat kepada para pembaca dan diri penulis sendiri. Andai ada kekurangan di mana-mana, mohon tinggalkan komen untuk penambahbaikan.

Wallahua'lam.  

Rujukan:
Nouman Ali Khan: www.bayyinah.com